|
Apa itu denggi?
Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit
yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi
boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.
Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit
ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar.
Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga
togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis ´serotype´ virus yang telah dikenalpasti
iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis ´serotype´ ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza-beza.
Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh
pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus
tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh
yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit.
Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari
seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu
1.5 kali berat badannya.
Nyamuk aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa
virus denggi iaitu:
1. Aedes aegypti. Ciri-ciri nyamuk ini ialah tanda putih-perak bentuk kecapi di kepala. Nyamuk aedes aegypti berterbangan
di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan
di dalam dan di luar rumah.
2. Aedes albopictus. Ciri-ciri nyamuk ini pula ialah terdapat garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan.
Nyamuk albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada
tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia. Disamping bekas
buatan nyamuk ini juga boleh berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul pokok,
buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan tempat air bertakung.
Jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.
Cara jangkitan:
Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air
liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama lapan hingga sepuluh hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air
liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya.
Apabila nyamuk aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada terdapat dalam
air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus
denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.
Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus
denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai
nyamuk tersebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil ´penularan
mekanikal´.
Selain itu, jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari di mana ia merupakan suatu proses penularan
agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya. Penularan
transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui
proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.
Tempat pembiakan:
Nyamuk aedes membiak di dalam takungan air jernih sama ada di dalam dan luar rumah tetapi tidak boleh membiak di dalam
air yang kotor. Bahagian dalam rumah ia dapat membiak di piring alas pasu bunga, tadahan air seperti kolah mandi, tempayan
atau baldi dan perangkap semut. Manakala di luar rumah seperti di dalam tayar buruk, saluran air hujan, tin-tin kosong, kawasan
pembinaan, cawan getah, lubang pokok, tungguk buluh, ketiak daun seperti, daun pandan dan nanas.
Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu:
i) Demam denggi klasikal.
Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk
dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan ´demam patah tulang´ atau ´breakbone fever´.
ii) Demam denggi berdarah.
Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari)
gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti
tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai
dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil
sebagai ´demam berdarah Filipina´.
Tanda-tanda atau gejala:
1. Demam denggi klasikal
Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam
yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung
selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga
hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah
leukosit dan platlet dalam darah menurun.
2. Demam denggi berdarah
Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan
kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung,
gusi, darah dalam najis(najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.
Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di
bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti
kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan
atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai ´Dengue Shock Syndrome´ (DSS).
Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk
membantu pesakit deman denggi ialah:
Rawatan demam denggi klasikal:
Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam(suhu
badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.
Rawatan demam denggi berdarah:
Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air
lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik.
Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah
pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana
ini menggambarkan darjah kehilangan plasma.
Oleh hal yang demikian, orang ramai perlu lebih peka terhadap kawasan sekitar tempat tinggal mereka agar nyamuk ini tidak
dapat membiak dengan membersihkan kawasan rumah dan membuang segala sampah sarap yang mungkin menjadi sarang nyamuk ini melakukan
proses pembiakkan malah pihak berkuasa juga perlu memastikan setiap premis bebas daripada denggi.
|